Monday, April 19, 2010

Kenyataan Media Dr. Halili


Saya memanggil sidang media ini untuk mengumumkan bahawa pada hari ini saya keluar dari menjadi ahli PKR dan sekali gus akan masuk menjadi ahli Umno.

1. Keputusan ini adalah kerana saya telah berpendapat bahawa PKR yang ada sekarang ini jauh terpesong daripada perjuangan Parti Keadilan Nasional yang saya terbabit secara langsung semasa mengasaskannya pada 1999.

2. PKR yang ada hari ini sudah dikuasai oleh kumpulan kecil pemimpinnya yang berfikiran sempit dan memajukan ideologi-ideologi
berhaluan kiri yang tidak disenangi oleh orang-orang Melayu khususnya serta rakyat Malaysia umumnya. Sudah nyata lagi jelas PKR bukan lagi sebuah wadah parti politik perjuangan tetapi PKR lebih condong kepada sebuah parti yang pentingkan kuasa sehingga tidak mempedulikan kepada kesejahteraan rakyat walaupun sudah diberi mandat untuk mentadbir di beberapa buah negeri.

3. Dalam masa sama, saya melihat kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak memang bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk membawa perubahan politik Umno dan BN ini membuatkan saya mengambil keputusan untuk terus memperjuangkan nasib rakyat dengan memberi sokongan yang penuh pada usaha beliau dan pemimpin kerajaan yang lain.

Saya menyedari akan ada yang menuduh bahawa tindakan saya ini adalah kerana kecewa tidak terpilih sebagai Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil P94 Hulu Selangor kali ini, dan saya tegaskan seperti berikut;

1. Saya tidak pernah meminta atau menawar diri untuk dipilih menjadi calon PKR dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor ini dan saya juga tidak pernah mengatakan yang saya menerima pelawaan untuk menjadi calon jika dijemput walaupun ada pemimpin PKR yang telah mencadangkan demikian.

2. Walaupun saya pernah bertanding di atas tiket PKR sebelum ini pada Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004 tetapi bagi saya Pilihan Raya Kecil kali ini saya merasa berat untuk memikirkannya kerana realiti di peringkat masyarakat bawahan kini sudah berubah.

3. Saya juga membuat kenyataan ini, pada hari ini semasa kehangatan kempen Pilihan Raya Hulu Selangor, dengan tujuan saya tidak mahu nama saya digunakan oleh PKR untuk memancing undi seolah-olah pendirian saya terhadap PKR adalah masih sama seperti di zaman Deklarasi Permatang Pauh.

4. Sebagai anak jati Hulu Selangor yang masih berkampung di Ulu Yam, Hulu Selangor, amat sukar bagi saya untuk mempertahankan kredibiliti PKR memandangkan tidak ada apa pun yang telah dibuat oleh PKR untuk kesejahteraan pengundi Hulu Selangor dalam masa dua tahun Parlimen Hulu Selangor dikuasai oleh PKR, dan Pakatan Rakyat memerintah Selangor. Saya mengetahui dan faham bahawa Allahyarham wakil rakyat sebelum ini uzur, tetapi yang menghairankan saya kenapa PKR tidak berbuat sesuatu bagi membantu pejabat beliau untuk memberi khidmat kepada pengundi di Hulu Selangor.

5. Terbukti yang PKR hanya sibuk merayu undi pada waktu pilihan raya saja tetapi mengabaikan amanah seperti yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya.

6. Perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku dan saya diberitahu oleh orang-orang kampung saya bahawa mereka akan memastikan ia tidak akan berlaku lagi.

Sekian kenyataan media saya dan saya tahu yang rakan-rakan serta saudara mara saya di Hulu Selangor faham bahawa perjuangan saya selama ini dalah untuk perubahan dan reforamasi dan bukan untuk membela seseorang individu saja.

Sekian Wassalam.


Sumber: Berita Harian


p/s : Relaven kah pengundi Hulu Selangor mengundi PKR ???

No comments:

Post a Comment