Sunday, June 27, 2010

Penyertaan ulama dapat martabatkan bangsa Melayu, Islam

REMBAU 27 Jun - Penyertaan golongan ulama yang menyertai UMNO baru-baru ini merupakan satu tamparan hebat buat parti Pas yang selama ini menganggap parti pembangkang itu sahaja yang menjadi pilihan golongan agama.

Ketua Pergerakkan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin memberitahu, selama ini masyarakat hanya melihat golongan ulama selama ini memilih Pas sebagai landasan perjuangan mereka untuk meninggikan syiar Islam.

Namun, katanya, berdasarkan kepada keadaan semasa, para intelek Islam itu mula tertanya-tanya mengenai apakah perjuangan yang diingini itu akan menjadi nyata sedangkan pada hakikatnya ia masih kabur.

"Bagi saya, ia sudah tentunya akan memberikan satu tamparan hebat buat Pas berikutan kemasukan para ulama-ulama ini. Sedangkan ramai yang melihat golongan seperti ini hanya akan menyertai Pas.

"'Malah keadaan ini juga akan menyebabkan ramai di kalangan ahli-ahli Pas tertanya-tanya adakah perjuangan mereka telah tersasar," katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Serentak Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas dekat sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Rembau yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Khairy juga yakin dengan penyertaan golongan ulama profesional itu, ia juga dilihat dapat memberi lebih pengisian terutamanya dalam aktiviti di bidang keagamaan.

Justeru, kata beliau dalam konteks Pemuda UMNO, pihaknya juga akan memberikan ruang dan peluang kepada mereka untuk berjuang bersama-sama dalam memartabatkan bangsa Melayu dan agama Islam.

"Kita mengalu-alukan penyertaan mereka dalam UMNO dan saya yakin dengan kemasukan mereka dalam parti, ia akan memberi satu sentuhan dan pengisian keagamaan.

"Kita juga akan memberikan platform terbaik buat mereka untuk bersama-sama dalam berjuang di dalam parti," kata beliau.

Jika usaha drastik dilakukan tarik pengundi baru

Rawang 27 Jun - Perpecahan dalam kerajaan Selangor ditunjangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan peluang terbaik buat UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kembali merampas negeri itu yang terlepas ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin UMNO dan parti komponen BN di peringkat akar umbi terutama di negeri berkenaan kini perlu memperkuat jentera parti masing-masing untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat Selangor.

"Itu sebabnya saya tekankan kita harus melakukan usaha lebih drastik bagi mendapatkan sokongan pengundi baru dan pengundi yang telah lari daripada kita pada pilihan raya umum dahulu (2008)," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam ketika dihubungi mengakui wujud komplot di kalangan 15 Ahli Parlimen PKR untuk menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Katanya, perkara itu berlaku kerana terdapat segelintir ahli Parlimen termasuk dari beberapa negeri lain tidak berpuas hati dengan cara dan tindakan Abdul Khalid mentadbir kerajaan dan politik Selangor.

Ahmad Zahid menambah, perkembangan dalam pakatan pembangkang yang menerajui negeri itu membuktikan perpecahan di kalangan PKR, Pas dan DAP kini adalah kritikal.

Bagaimanapun, katanya, para pemimpin pembangkang mempunyai kelebihan menyembunyikan setiap kelemahan serta perpecahan di antara mereka.

"Saya fikir sebenarnya perpecahan PKR lebih parah lagi, undi tidak percaya (terhadap Abdul Khalid) memang berlaku tetapi mereka sapu di bawah permaidani," ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, perpecahan di kalangan pemimpin UMNO Bahagian Rantau Panjang, Kelantan akan dibawa ke pengetahuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO untuk tindakan lanjut.

Semalam, Ahmad Zahid terpaksa merasmikan dua mesyuarat UMNO Bahagian Rantau Panjang yang diadakan secara berasingan kerana perbezaan pendapat di kalangan beberapa pemimpin yang kalah dan menang pada pemilihan parti itu sebelum ini.

"Perpecahan bukan sahaja merosakkan imej individu malah parti juga turut terpalit," tegasnya.

Zahid Hamidi hadir dua persidangan 'tidak sehaluan'

RANTAU PANJANG 27 Jun - Krisis yang melanda UMNO Bahagian Rantau Panjang sejak 2008 mendapat harapan baru untuk pulih dengan kehadiran Naib Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke dua persidangan perwakilan yang diadakan di dua buah tempat berasingan secara serentak di sini, semalam.

Persidangan perwakilan tersebut berpecah dua ekoran krisis yang melanda antara Ketua Bahagiannya, Abdullah Mat Yassin dan bekas ketuanya yang kini digantung keahlian UMNO, Datuk Mohamad Zain Ismail.

Keadaan ini menyebabkan persidangan berkenaan diadakan di dua tempat secara serentak iaitu di Lubok Jong, Rantau Panjang yang diketuai Abdullah dan di Dewan Yayasan Pembangunan Masyarakat, Lati, Pasir Mas di bawah pimpinan Mohamad.

Utusan Malaysia difahamkan, persidangan yang diadakan di Lubok Jong adalah sah mengikut perlembagaan UMNO, manakala kumpulan pimpinan Abdullah tidak sah.

Bagaimanapun, Zahid yang pada mulanya merasmikan persidangan di Lubok Jong pada pukul 2 petang kemudiannya meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dengan ahli-ahli UMNO yang berada di persidangan yang satu lagi.

Ketibaan beliau tepat pukul 4.45 petang semalam ternyata membawa harapan gembira kepada ahli-ahli UMNO di situ apabila mereka bersorak dan melaungkan 'hidup UMNO' berulang kali.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan tidak menyampaikan sebarang ucapan dan hanya beramah mesra dengan hadirin di situ serta berjumpa dan bercakap sesuatu kepada Abdullah.

Beliau yang ditemui pemberita sejurus selepas itu kemudiannya menyatakan telah menerima arahan daripada Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk hadir ke kedua-dua tempat bagi menyelesaikan krisis yang melanda.

"Saya menasihatkan kepada semua pemimpin dan ahli di bahagian ini agar mengikut peraturan sedia ada dalam parti bagaimanapun saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat jawatankuasa pengurusan dan seterusnya ke Majlis Tertinggi jika perlu'' katanya.

Menurut sumber, perpecahan yang berlaku di bahagian itu bermula apabila empat pemimpin di bahagian itu digantung keahlian oleh Majlis Tertinggi pada 2008 iaitu Mohamad (bekas Ketua Bahagian); Ghazali Ismail (bekas bendahari bahagian); Fauzi Omar (bekas Ketua Pemuda bahagian) dan Pauziah Che Wook (bekas Ketua Wanita).

Selepas penggantungan tersebut, semua penjawat baru jawatan berkenaan didakwa dilantik tanpa mengadakan pertandingan menyebabkan ramai ahli tidak berpuas hati sehingga mewujudkan dua kumpulan UMNO di situ.